Assalamulaikum w.bt. dan Salam Sejahtera,
Dalam usaha membangunkan insan dan memartabatkan bangsa menerusi wadah pendidikan, kita warga pendidik akan menghadapi pelbagai cabaran, dugaan dan kekangan yang tertentu. Justeru itu, kita mestilah bertekad untuk melengkapkan diri kita dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman terkini, tabah serta sentiasa bersedia dengan semangat yang kental daya saing bagi menangani tuntutan alaf baru untuk kesejahteraan hidup yang semakin ruwat.
Dalam menentukan hala tuju ini, kita perlu menyusun pelbagai perancangan dan strategi tertentu demi untuk mencapai dan menikmati kejayaan cemerlang itu. Lantaran itu kita menyusun pelbagai agenda dan sebahagian daripada perancangan dan pelaksanaan aktiviti tersebut dimasukkan dalam blog sekolah ini untuk makluman warga sekolah dan masyarakat umum.
Kita warga pendidik adalah sebagai salah satu agen perubahan bagi pengisian dan pembentukkan generasi akan datang. Justeru itu, sebagai pendidik kita mesti peka dan menyedari perubahan zaman serta bertindak secara efektif sehaluan dengan perkembangan zaman sekarang. Kita mestilah merentasi zaman atau sekurang-kurangnya mengikut zaman, jangan sekali-kali kita ketingggalan zaman, terutama dalam senario dunia kini iaitu dalam era ledakan zaman teknologi infomasi dan komunikasi (ICT) ini.
Kita perlu menggandakan usaha, berganding bahu, bergerak sederap, maju sepakat, mengukuhkan tekad, memantapkan komitmen, senada dan sekata untuk bersama ke arah kecemerlangan menerusi wadah pendidikan.
Namun kita jangan lupa bahawa kita berusaha dan merancang untuk yang terbaik, tapi qada’ dan qadar Allah jua yang menentukan. Oleh itu, setelah kita merancang dan berusaha bersungguh-sungguh, marilah kita berdoa dan berserah kepadaNya.
Sekian, terima kasih.
Salam hormat dari saya,
(HAJI NOR AZMI BIN RAHMAT)
Guru Besar
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Taman Sri Andalas